BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Pages

Sunday, September 7, 2008

SISTEM WAKAF KONTEMPORARI

Tiada halangan syarak untuk kita membina konsep baru mengenai wakaf bagi memudahkan kita merangka sistem yang boleh dilaksanakan ibadat wakaf secara lebih berkesan asalkan matlamat dan tujuan wakaf itu dapat dipenuhi sebagaimana asalnya, iaitu mengumpul dana dan sumber kukuh yang berterusan bagi melaksanakan tanggungjawab sosial untuk kebajikan golongan terpinggir di dalam masyarakat atau lain-lain kebajikan yang dibenarkan syarak.

Konsep baru wakaf yang diperkenalkan ini merupakan gabungan atau rumusan daripada ulama Al-Hanafiyyah, Al-Mahkiyyah dan Al-Shafiyyah, dan bukannya idea inovatif yang tidak langsung mengambil kira pandangan-pandangan warisan di dalam sastera perundangan Islam klasik. Tujuan dikemukakan konsep baru ini ialah untuk membolehkan pelaksanaan wakaf secara lebih berkesan, dan profesional, baik dari segi amalan wakaf itu, mahu pun pengurusannya, supaya lebih telus dan relevan dengan perkembangan hidup kontemporari.

Di dalam konsep baru ini, elemen wakaf manfaat dan tidak ain sesuatu harta dan barangan seperti pandangan Abu Hanifah menjadi elemen yang terpenting. Tetapi sifat kekal yang terdapat di dalam konsep wakaf Al-Shafiyyah, juga adalah penting supaya dapat dielak pemberian yang bersifat sementara yang boleh mengganggu proses pengurusan dan penggunaan manfaat untuk program-program kebajikan dan sosial.

Ini bermakna wakaf itu ialah pelaksanaan harta atau barangan atau saham di dalam mana-mana harta yang dimiliki secara bersama, tanpa kehilangan hak pewakaf ke atas harta, barangan dan saham tersebut dengan syarat bahawa penahanan manfaat untuk tujuan wakaf itu adalah untuk selama-lamanya. Ini juga bermakna hak pewakaf ke atas harta itu tidak hilang, namun, ia tidak lagi boleh menggunakan hasil dan manfaat daripada harta itu, melainkan untuk tujuan-tujuan wakaf yang telah ditetapkannya. Pewakaf boleh menjual harta, barangan dan saham wakaf itu, kepada orang lain dan orang yang membeli itu membeli harta tersebut untuk tujuan wakaf dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pewakaf pertama dan dipersetujui oleh pewakaf yang baru.

Barangkali konsep wakaf yang dikemukakan ini, dilihat aneh. Tetapi sebenarnya bukanlah sesuatu yang tidak syarie. Justeru di dalam muamalat kefahaman mengenai pelaksanaan dan kaedah pelaksanaan, adalah anjal. Jika Al-Shafiyyah dan Al-Hanafiyyah mempunyai perbezaan pandangan mengenai konsep wakaf, perbezaan itu tidak lain, adalah kerana keanjalan fiqh Islam itu sendiri. Imam-imam kita terdahulu, memanfaat kebebasan berfikir dan berinovasi di dalam bidang-bidang seperti muamalat ini, asalkan tidak terkeluar daripada objektif dan prinsip yang ditetapkan. Konsep baru yang dikemukakan ini, adalah rumusan atau penyesuaian antara pandangan dua aliran perundangan yang diakui atau muktabar yang dikira dapat dimanfaatkan. Sebagai asas kepada cadangan pembentukan sistem wakaf kontemporari.

Penyesuaian antara isu pemilikan ke atas harta wakaf dan keabadian manfaat wakaf untuk tujuan-tujuan kebajikan, dan tujuan-tujuan lain yang diharuskan syarak, adalah menjadi asas kepada konsep wakaf yang baru, di mana hak milik ke atas harta wakaf itu kekal di tangan pewakaf, berdasarkan kepada pandangan aliran Al-Hanafiyyah dan kekalnya manfaat atau hasil harta itu untuk tujuan wakaf, adalah didasarkan kepada pendapat Al-Shafiyyah.Tidak timbul masalah talfiq di sini, kerana penyesuaian dilakukan bukan di dalam lapangan ibadat khusus dengan meringan-ringankan kewajipan. Tetapi penyesuaian yang dilakukan adalah bertujuan menyelesaikan masalah yang dihadapi di dalam amalan berwakaf bagi menjadikannya lebih praktikal dan berkesan. Lagipun wakaf adalah isu muamalat yang bersifat anjal dari segi kaedah pelaksanaannya.

- DATUK HAJI MOHD NAKHAIE HAJI AHMAD
Sistem Wakaf Kontemporari(Sedutan kertas kerja YBhg. Yang Dipertua YADIM pada Kolokium Pengurusan Aset dan Penyelesaian Harta Pusaka Muslim Mengikut Perundangan Malaysia, 24-25 Mei 2004, di Hotel Marriot, Putrajaya)

0 comments: